Lawatan Kelab Entech ke Universiti Teknologi Nanyang dan Newater Visitor Centre, Singapura

Oleh: Dr. Nurul Adyani Ghazali

Seramai 57 orang pelajar sarjana muda teknologi alam sekitar dari Kelab ENTECH bersama-sama dengan 4 orang pensyarah pengiring iaitu Prof. Ir. Dr. Ahmad Bin Jusoh, Dr. Mohamad Bin Awang, Cik Wan Salida Binti Wan Mansor dan Dr. Nurul Adyani Binti Ghazali telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Singapura pada 14 hingga 16 Febuari 2012. Lawatan ini sejajar dengan keperluan UMT bagi menggalakkan aktiviti pengantarabangsaan pelajar melalui program lawatan ke luar negara.

Sesi lawatan dimulakan pada 15 Febuari 2012 dengan melakukan kunjungan ke Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura. Pihak delegasi UMT telah dibawa melawat ke makmal alam sekitar NTU oleh ketua pegawai sains dan beliau telah memberi penerangan terutamanya mengenai penggunaan teknologi terkini dan amalan keselamatan yang diterapkan kepada setiap pelajar di sana. Delegasi UMT juga berpeluang melihat prasarana yang terdapat di makmal alam sekitar NTU dan berpeluang bertanyakan soalan-soalan berkaitan dengan pengurusan makmal dan hal-hal lain berkaitan dengan makmal alam sekitar.

Seterusnya pihak NTU membawa delegasi UMT melawat ke perpustakaan Lee Wee Nam. Delegasi UMT berpeluang melihat prasarana dan perkhidmatan yang disediakan oleh perpustakaan tersebut untuk para pelajar di sana. Konsep keterbukaan dan penyediaan kemudahan yang diperlukan oleh setiap pelajar telah menyuntik banyak idea yang menarik kepada semua delegasi yang hadir.

Selesai acara lawatan, Delegasi UMTdijemput menghadiri sesi taklimat mengenai bidang penyelidikan dan bidang pengajian yang ditawarkan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar oleh Ketua CEE (Centre for Environment Education), Prof. Madya Dr. Liu Yu (Associate Chair – Research). Di samping itu, perbincangan berkenaan peluang kerjasama dan juga peluang untuk melanjutkan pelajaran di NTU juga dibincangkan.

Delegasi UMT meneruskan acara lawatan ke Newater Visitor Centre pada sebelah petang hari yang sama. Ketibaan Delegasi UMT disambut oleh wakil syarikat Newater. Proses rawatan air sisa yang dijalankan di loji rawatan air sisa di sana diterangkan dan ditunjukkan secara terperinci melalui tayangan video dan lawatan tapak. Lawatan ini memberi pendedahan baru kapeda pelajar tentang rawatan air sisa yang baru iaitu menggunakan teknologi membran.

Kesimpulannya, lawatan akademik ke Universiti Teknologi Nanyang dan Newater Visitor Center telah memberi banyak manfaat dan pengetahuan yang baru kepada para pelajar Sarjana Muda Teknologi (Alam Sekitar). Antara perkara yang dapat dimanfaatkan melalui lawatan ini ialah:

  1. Perkongsian maklumat diantara para pensyarah mengenai peluang penyelidikan diantara NTU dan UMT.
  2. Percambahan idea dan perkongsian maklumat mengenai kerja-kerja penyelidikan terkini yang dijalankan di NTU khasnya dan di Singapura amnya.
  3. Teknologi dan sistem rawatan air terkini yang digunapakai di Singapura iaitu menggunakan teknologi membran.

Adalah diharapkan agar lawatan akademik ke Newater Visitor Center dan Universiti Teknologi Nanyang, Singapura ini telah dapat mencapai objektif seperti mana yang telah ditetapkan. Kerjasama daripada pihak Universiti amatlah dihargai dan jutaan terima kasih diucapkan.

Para pensyarah dan pelajar di Nanyang Technological University, Singapura.
Sesi penerangan yang diberikan oleh pegawai sains makmal alam sekitar.
Penyampaikan cenderahati kepada wakil Nanyang Technolgy University.
Para pensyarah dan pelajar di Newater Visitor Centre, Singapura

 

Translate »
Portal UMT