Program Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim)

Pengenalan


Program Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) mula ditawarkan pada sesi Julai 2006/2007 oleh Jabatan Teknologi Maritim, Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin, bertitik tolak daripada kelulusan mesyuarat Jawatankuasa Pendidikan Tinggi (JKPT) Bil 2/ 2006, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada 15 April 2006. Pada tahun 2007, lanjutan daripada penubuhan Malaysia Qualifications Agency (MQA) yang berobjektif untuk melaksanakan Malaysia Qualification Framework (MQF) serta mengambilkira cadangan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dan keperluan industri, maka usaha penambahbaikan dan pemantapan program telah dibuat.
Program ini ditawarkan secara sepenuh masa dan mengambil masa selama empat (4) tahun atau lapan (8) semester yang merangkumi 140 jam kredit minimum untuk bergraduat.Tiada lagi program lain di Malaysia yang menawarkan program seperti ini. Bidang Teknologi Maritim merupakan bidang yang memfokuskan pengajian kepada penggunaan teknologi, operasi, proses dan sistem yang digunakan dalam sektor industri maritim. Program ini dirangka khas untuk melahirkan graduan yang akan mengembangkan ilmu, menyumbang kepakaran untuk berkhidmat dan menerajui syarikat perkapalan, limbungan, pembinaan kapal dan agensi kerajaan berkaitan industri maritim di dalam dan di luar negara.

Objektif

Penawaran program ini adalah untuk mencapai objektif seperti berikut:

  1. Melahirkan graduan yang mempunyai pengetahuan luas dan mempunyai kemahiran teknikal dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maritim dan aplikasi.
  2. Melahirkan graduan yang holistik, berketrampilan, berfikiran kreatif dan inovatif serta berdaya saing dalam kerjaya dan penyelidikan berteraskan teknologi maritim.
  3. Melahirkan graduan yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah lanjutan di bidang kepakaran yang sama di Universiti Malaysia Terengganu atau di institusi pengajian tinggi yang lain.

Prospek Kerja

Program ini sesuai ditawarkan memandangkan perkembangan pesat yang berlaku dalam industri maritim. Berikut menunjukkan beberapa keperluan dalam kerjaya
teknologi maritim.

  1. Penubuhan Program Sarjana Sains Gunaan (Teknologi Maritim) adalah selaras dengan era globalisasi dan perkembangan perindustrian maritim. Justeru untuk memastikan pelajar daripada program ini mahir dalam industri maritim, program ini telah menekankan penerapan ilmu berkaitan dengan teknologi pelabuhan, teknologi perkapalan, industri berasaskan perkapalan, pembinaan kapal, baikpulih kapal dan lain-lain.
  2. Industri maritim seperti pembinaan kapal bukan sahaja memerlukan seseorang pekerja berpengetahuan malah memerlukan kemahiran dalam melakukan kerja. Justeru itu, untuk melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri, program yang ditawarkan ini telah dirangka supaya pelajar terdedah dengan ujikaji dan praktikal.
  3. Jumlah kapal yang singgah di pelabuhan Malaysia kian meningkat dari tahun ke tahun akibat dari perkembangan ekonomi yang pesat. Pekembangan ini dilihat telah menyebabkan banyak hidupan-hidupan laut di sekitar pelabuhan Malaysia mulai pupus, seperti dugong. Justeru, program ini juga dirangka untuk melahirkan graduan yang bukan mementingkan pembangunan dalam sektor maritim sahaja, malahan juga peka terhadap kerbertanggungjawaban sosial seperti pencemaran.
  4. Industri maritim, terutamanya perkapalan sememangnya terdedah dengan perhubungan dengan masyarakat antarabangsa. Justeru itu, penekanan nilai, sikap dan profesional adalah adalah sangat penting dan penekanan di dalam program amat dititikberatkan.
  5. Dalam mana-mana industri sekalipun, komunikasi dan kerja berpasukan adalah asas dalam pergaulan dan perniagaan. Program ini telah direkabentuk supaya semua graduan dapat berhubung dengan masyarakat luar dengan lebih berkesan.
  6. Program ini melahirkan graduan yang dapat menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran sains, teknologi dan kejuruteraan selaras dengan dasar kerajaan. Para graduan dapat mengembangkan ilmu secara kreatif dan inovatif menerusi penyelidikan untuk menerajui industri maritim.
  7. Pembangunan, pengurusan teknologi dan sumber manusia dapat memberi pulangan yang besar kepada Industri Maritim. Ini dapat dilihat dari perkembangan syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa. Justeru program ini memberi penekanan dalam aspek pembangunan, pengurusan teknologi dan sumber manusia kepada para pelajar.
  8. Penggunaan pengurusan maklumat dan kemahiran sepanjang hayat adalah asas kerjaya. Program ini telah direkabentuk supaya semua graduan sentiasa peka terhadap perkembangan teknologi dan keperluan semasa industri.
  9. Kerjaya dalam program ini melibatkan peluang pekerjaan di dalam agensi kerajaan dan swasta terutama yang telibat secara langsung atau tidak langsung dengan industri maritim. Graduan boleh berkhidmat sebagai jurutera marin, arkitek naval, juru teknologi, pensyarah di universiti, politeknik, matrikulasi, kolej swasta atau guru, pegawai penyelidik/ pegawai sains (Institut Penyelidikan) dan lain-lain lagi.

Translate »
Portal UMT