Program Sarjana Muda Teknologi (Alam Sekitar)

Pengenalan

Sarjana Muda Teknologi (Alam Sekitar) merupakan satu program prasiswazah yang mula diperkenalkan pada tahun 2000. Menerusi program empat tahun ini pelajar
akan mempelajari, mengaplikasi dan mengintegrasi pengetahuan dan kemahiran pengurusan dalam menghadapi cabaran alam sekitar. Selain dapat meningkatkan wawasan peluang kerjaya, pelajar akan memperolehi pengalaman dunia pekerjaan sebenar sepanjang tempoh latihan industri (LI) selama dua belas (12) minggu di organisasi berkaitan alam sekitar samada di dalam atau di luar negara sebelum mereka menamatkan pengajian. Menerusi projek ilmiah tahun akhir (PITA), pelajar akan menjalankan penyelidikan dengan memperolehi pengalaman pemikiran kritis dan kemahiran yang diperlukan untuk penyelesaian masalah. Pengajaran kursus disampaikan dalam bentuk kuliah, tutorial, tugasan, kuiz, kerja makmal dan ujikaji, pengumpulan data dan analisis data. Selain itu, pelajar akan belajar menggunakan perisian untuk pembentangan, analisis data dan pemodelan sistem.

Objektif

Penawaran program ini adalah untuk mencapai objektif seperti berikut:

  1. Mempunyai pengetahuan asas kukuh dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan pengurusan alam sekitar.
  2. Berkebolehan mengolah dan mengaplikasi pengetahuan multidisiplin untuk menyelesaikan masalah alam sekitar yang unik dan mencabar dengan menggunakan pendekatan teknikal dan teknologi yang bersesuaian.
  3. Berketrampilan, kompeten dan berkemahiran untuk berkomunikasi secara berkesan dan berkeyakinan.
  4. Mendukung dan sentiasa mempraktikkan sifat-sifat profesionalisme, moral dan etika yang tinggi selaras dengan norma masyarakat dan amalan profesional.
  5. Bijak mengenalpasti dan memanfaatkan peluang-peluang keusahawanan, perniagaan serta perundingan.

Prospek Kerja

Graduan program ini berpeluang menceburi kerjaya dalam pelbagai sektor. Antara kerjaya utama ialah:

Saintis alam sekitar, pegawai perunding dan pengurus bahan berbahaya, pegawai perunding alam sekitar, pengurus pematuhan alam sekitar, pegawai penyiasat alam sekitar, penyelaras alam sekitar, pegawai perunding pengurusan sisa, pegawai perunding pemulihan tapak, pengendali rawatan air sisa, pegawai perunding
kawalan pencemaran, pengawal alam sekitar, aktivis alam sekitar, pegawai perunding kesihatan pekerjaan dan pendidik dalam bidang alam sekitar.

Translate »
Portal UMT