Pengenalan SMS Nautika dan Pengangkutan Maritim

Sarjana Muda Sains (Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim)

Pengenalan

Program Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim) mula ditawarkan pada sesi Julai 2007/2008 setelah dipersetujui oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dalam mesyuarat Jawatankuasa Pendidikan Tinggi (JKPT) Bil 2/2006 bertarikh 15 April 2006. Program ini ditawarkan secara sepenuh masa dan mengambil masa selama empat (4) tahun atau lapan (8) semester yang merangkumi 139 jam kredit minimum untuk bergraduat. Program Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim) adalah satu bidang kepakaran yang berurusan dengan organisasi, operasi dan pengendalian kapal secara komersil. Program ini melahirkan graduan dengan kemahiran pelayaran dan perkapalan. Selain itu, program ini juga berkait rapat dengan kerja-kerja di bahagian pengurusan dan pentadbiran pelabuhan. Bidang sains nautika memberi penumpuan khusus meliputi ilmu perkapalan dan pelayaran, pengendalian kargo, peralatan komunikasi maritim, kerja–kerja carta dan pengawasan, meteorologi serta undang-undang untuk diaplikasikan dalam bidang maritim. Program ini akan melatih pelajar memiliki kemahiran dan pengetahuan dalam bidang sains nautika bagi menyumbang khidmat di dalam syarikat perkapalan dan agensi kerajaan atau swasta yang berkaitan dengan maritim.

Objektif

Penawaran program ini adalah untuk mencapai objektif seperti berikut:

  1. Melahirkan graduan yang mempunyai pengetahuan luas dan mempunyai kemahiran teknikal dalam bidang sains nautika dan teknologi perkapalan masa kini.
  2. Menerokai segala ilmu dalam semua bidang yang berkaitan dengan Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim melalui pembelajaran, latihan dan penyelidikan.
  3. Menghasilkan graduan yang berkelayakan untuk memenuhi permintaan dari sektor maritim samada di laut dan di darat.
  4. Melahirkan graduan yang holistik, berketrampilan, berfikiran kreatif dan inovatif serta berdaya saing dalam kerjaya dan penyelidikan berteraskan sains nautika dan berlandaskan perkembangan industri maritim masa kini.
  5. Melahirkan graduan yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah lanjutan di bidang kepakaran yang sama di Universiti Malaysia Terengganu atau di institusi pengajian tinggi yang lain.

Prospek Kerjaya

Para graduan bakal berpeluang menjawat jawatan di dalam kumpulan pengurusan professional dan pengurusan dengan agensi kerajaan atau swasta seperti Jabatan Laut, Agensi Penguatkuasaan Maritim, Lembaga Pelabuhan, Syarikat Perkapalan dan Pelabuhan, Badan Klasifikasi Kapal dan sebagainya. Graduan juga berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah lanjutan di bidang kepakaran yang sama di Universiti Malaysia Terengganu atau di institusi pengajian tinggi yang lain.Di samping itu juga mereka mampu mengendalikan agensi perniagaan dan perkhidmatan secara persendirian seperti khidmat perundingan, pembekalan peralatan perkapalan serta pelbagai khidmat dalam sektor maritim.

Portal UMT